Menghitung hari bahagia

qTANGGAL 14 Februari bukan lagi asing di kalangan pasangan yang bercinta. Ia merupakan hari yang dianggap istimewa kepada kebanyakan pasangan kekasih kerana pada hari itulah mereka meluahkan rasa cinta dan memeterai janji.

Pada tarikh itu juga ramai yang mengambil kesempatan untuk meluahkan isi hati kepada insan tersayang dan bertukar-tukar hadiah sebagai menterjemah rasa cinta di antara mereka.

Jika insan lain memilih tarikh tersebut untuk merai cinta, pasangan selebriti, Que Haidar atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 29 dan guru tari terkenal, Linda Jasmine, 36, pula memilih tanggal 14 Februari ini sebagai tarikh keramat memeterai ikatan perkahwinan.

Menghitung detik disatukan sebagai pasangan suami isteri, ketika ini baik Que mahupun Linda sendiri merasakan hari-hari yang dilalui begitu singkat sementelah mereka sudah tidak punya banyak waktu untuk berlengah perihal hari bersejarah mereka.

Memilih restoran Bora Ombak, Ampang sebagai latar merakam detik bahagia, mereka memutuskan untuk bernikah dan disandingkan di tempat yang sama.

Tatkala ditemui baru-baru ini, ternyata pasangan ini sedang merai cinta yang semakin mekar menanti detik bergelar suami isteri malah, senyuman yang sentiasa terukir di bibir mereka bagaikan menterjemah kegembiraan yang bersarang di jiwa.

Membuka bicara tentang persiapan perkahwinan, menurut pasangan itu, segala persiapan menjelang hari bahagia termasuk pakaian, makanan dan edaran kad jemputan sudah hampir selesai.

“Banyak perkara yang kami sudah selesaikan. Sebelum ini kami kena pastikan makanan mencukupi dan kad jemputan diedarkan kepada semua kenalan.

“Sekarang ini hanya tinggal beberapa perkara kecil seperti berinai, bunga telur dan persiapan untuk lapan kanak-kanak pengiring yang menjadi flower girl,” kata Linda yang menemani Que ketika mencuba pakaian persandingan di butik Lord’s Tailor, pusat membeli-belah Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai pemilihan Bora Ombak sebagai lokasi pernikahan dan persandingan mereka, jelas Que, pada awalnya mereka merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana yang hanya dihadiri oleh saudara mara terdekat.

“Pada mulanya kami hanya merancang untuk bernikah dan kemudian makan di restoran. Tetapi lama kelamaan majlis jadi semakin besar dan ada permintaan daripada keluarga yang mahukan kami bersanding.

“Bagi kami, bernikah dan bersanding di tempat yang sama lebih mudah sebab jemputan tak susah nak datang dan terkejar-kejar ke tempat yang lain.

“Sebab itu saya terfikir kenapa tidak buat ditempat yang sama, dan saya rasa majlis ini agak lain daripada biasa kerana pelamin kami dihias oleh pemilik Bora Ombak sendiri,” kata Que yang mengundang lebih 400 orang ke majlis persandingan mereka.

Bagi Linda pula, kelebihannya sebagai guru tari yang sudah terbiasa mengurus masa dan jadual kerja memberikan kelebihan kepadanya untuk menyempurnakan persiapan majlis biarpun hakikatnya ketika ini dia tidak menang tangan.

“Bila majlis semakin besar, maka semakin banyak perkara yang perlu dilakukan. Nasib baik saya seorang guru tari, jadi sudah ada pengalaman macam mana nak kejar masa,” katanya sambil mengukir senyuman.

Debaran pengantin lelaki

Menyelami rasa hati bakal raja sehari itu, Linda mengakui, teruja dan tidak sabar melangsungkan hari bahagianya dengan lancar.

Dia yang begitu teliti, kalau boleh mahu setiap inci dan sudut pada hari bersejarah itu dipandang sempurna dan rapi.

Biarpun berusaha memberikan yang terbaik, namun ibu kepada Qalif Khan, 8, itu tidak dapat lari dari perasaan risau.

“Jemputan kami kini sudah lebih 400 orang, namun saya tetap risau sebab takut kecilkan hati orang jika terlupa jemput.

“Takut juga jika saya buat silap dan tidak dapat memuaskan hati ramai pihak pada majlis itu nanti.

“Kadang-kadang kita cuba nak elakkan sebarang kesulitan tetapi sudah pasti orang akan berkata juga. Bagaimanapun, untuk majlis kami nanti, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Berbanding Linda yang pernah melalui detik pernikahan sebelum ini, Que pastinya lebih berdebar.

Malah jiwa gementarnya tidak dapat disembunyikan pada pertemuan di butik Lord’s Tailor itu.

Sambil memperagakan pakaian yang bakal digunakan pada majlis resepsinya, berkali-kali dia melahirkan rasa gemuruh di hadapan wakil media.

“Sebenarnya saya tidak rasa berdebar sebelum ini, sehinggalah baru-baru ini saya menyaksikan majlis pernikahan ketika sedang menjalani pengambaran di sebuah masjid dan bermula daripada situ hati saya semakin berdebar,” kata Que yang mula bercuti 12 Februari ini selama sebulan.

Selain Lord’s Tailor, Linda dan Que turut mendapatkan khidmat pereka fesyen terkemuka lain termasuk pakaian nikah daripada Butik Kirana, pakaian persandingan Linda rekaan Syaiful Bahrim dan pakaian untuk acara memotong kek daripada Calvin Thoo.

Mahu bersederhana dalam majlis mereka, Que memberikan sebentuk cincin, senaskhah al-Quran dan mas kahwin sebagai hantaran perkahwinan mereka.

Sebagai balasan, Linda pula menghadiahkan bakal suaminya itu sebentuk cincin.

Mengharapkan kebahagiaan dan kasih sayang berpanjangan, sebagai seorang lelaki, Que mengimpikan kehidupan rumah tangga yang dilengkapi dengan ramai anak.

“Saya percaya kepada rezeki yang Tuhan berikan. Seperti mana keluarga saya yang mampu membesarkan ramai anak, selagi Linda mampu saya mahu ramai anak,” katanya.

Seperti Que yang mengimpikan kebahagiaan rumah tangga, biarpun tahu tentang cabaran yang bakal dihadapi, Linda meletakkan kedua orang tuanya sebagai idola kerana mampu mempertahankan kebahagiaan hingga kini.

Pada 15 Mac ini pula, majlis resepsi pihak keluarga Que bakal diadakan di Dewan Felda Taib Andak, Kulai, Johor berkonsepkan perkahwinan diraja.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: